Sekolah Tinggi Islam As-Sofa

REMBAU 9 September   -    Selepas kejayaan menggerakkan dua pusat tahfiz di Kuala Lumpur dan Selangor, Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) kini membangunkan sebuah sekolah maahad yang berasas pendidikan Islam dalam usaha melahirkan golongan ulama profesional.

 

Penolong Mudir Maahad As Sofa (Hal Ehwal Pelajar), Encik Saifulamrullah bin Mahmud (gambar) berkata, Maahad As Sofa atau Sekolah Menengah Agama As Sofa itu sedang dibangunkan di sebuah kawasan lapang bersebelahan Madrasah Al Hasaniah di Kampung Bukit Sembilan, di sini.

 

  Katanya, ia dijangka menerima kemasukan pelajar pertamanya pada awal tahun hadapan. "Maahad ini adalah sebagai manifestasi Yayasan Sofa Negeri Sembilan untuk melebarkan usaha dakwah serta memperlengkapkan golongan muda dengan ilmu, bukan sahaja akademik tetapi juga agama.

 

 "Pendidikan ini penting dan disebabkan itulah Ahli Lembaga Pengelola Maahad ini bersetuju supaya peringkat permulaan sebanyak 120 pelajar lelaki dan perempuan diterima masuk untuk menduduki sesi persekolahan awal tahun hadapan," katanya di sini hari ini.

 

Menurut Saifulamrullah, ketika ini struktur pengajian untuk akademik sedang dikemaskini dan pihak maahad bersetuju untuk menerima kemasukan pelajar tingkatan satu, empat dan enam rendah sahaja. Katanya, para pelajar itu akan didedahkan dengan subjek akademik dan thanawi.

 

"Untuk pengajian 2008, kesemua pelajar yang memasuki maahad ini nanti akan dipastikan mampu menghafaz al-Quran serta diajar nahu, tauhid, hadis, feqah dan sirah. "Mereka juga akan diajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Sains, Matematik, Kemahiran Hidup, Sejarah dan Geografi," ujarnya.

 

Bagi pelajar tingkatan enam rendah, kata Saifulamrullah, mereka akan diberi tumpuan untuk lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta mengikuti pengajian Hafiz al-Quran dan Tajwid, Feqah, Tauhid dan Mantik, Tafsir dan Ulumuhu, Hadis dan Mustollah, Nahu dan Sarf, Insyd dan Mutalaah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiyah serta Balaghah.

 

" Terdapat penambahan untuk pelajar ini dan mereka akan diberi bimbingan dalam manhaj dakwah supaya apabila keluar nanti, mereka mampu untuk menyampaikan dakwah seperti yang diajar dan mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.

 

Tambahnya, kesemua pelajar ini akan ditempatkan di asrama yang disediakan serta dikenakan yuran permulaan untuk sekali bayaran sebanyak RM100 dan bulanan sebanyak RM250 termasuk makanan dan kemudahan asrama. Bagi tahun hadapan, 2009, yuran inimakan meningkat kepada RM 400 sebulan, bagi kemudahan asrama dan makanan. Manakala bagi bayaran pendaftaran dan wang hemat diri tahunan akan  dinaikkan ke RM 600 setahun.

 

"Namun begitu, kita prihatin terhadap kepentingan ilmu dan mereka yang daif. Lembaga telah bersetuju pelajar anak yatim dan tidak berkemampuan akan dikecualikan daripada yuran itu," katanya.

 

Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi  :

 

Encik Saifulamrullah (013-641 7777)

atau Mohd. Hanif (019-663 7785),

Nurul Huda (019-384 9676) dan

Maahad As Sofa ( Fax 06-445 0363) @ 06 445 0419  ext: Cik Nurul Huda.